>> LANGKAWI PULAU LEGENDA


Langkawi merupakan salah satu daripada daerah dalam negeri Kedah Darul Aman, Malaysia. Ia diberi status bebas cukai pada tahun 1987 dan kini, pulau yang kaya dengan keindahan semulajadi dan legenda masa silam ini telah menampilkan diri sebagai salah satu daripada destinasi pelancongan yang paling popular di Malaysia. Langkawi sebenarnya merupakan suatu gugusan pulau di mana Pulau Langkawi adalah merupakan yang terbesar.

Terdapat 104 pulau dalam gugusan pulau Langkawi, satu pembentukan dari hanyutan benua yang membentuk Asia Tenggara. Titik tertinggi di Langkawi ialah puncak Gunung Raya yang mempunyai ketinggian 890m di atas aras laut. Antara pulau-pulau di dalam gugusan kepulauan ini ialah:
Pulau Dayang Bunting, Pulau Singa Besar, Pulau Tuba, Pulau Langgun dan Pulau Timun.

Pulau Langkawi merupakan sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di kalangan warga asing mahupun tempatan, dan untuk ke sini pengunjung perlu menaiki bot dari jeti Kuala Kedah ataupun Kuala Perlis. Selain itu, syarikat penerbangan Air Asia juga menyediakan perkhidmatan untuk ke pulau legenda ini.

Selain feri dari Kuala Perlis, feri-feri dari Kuala Kedah dan Pulau Pinang juga ada disediakan. Star Cruise Pulau Pinang ada menyediakan pakej lengkap ke Langkawi. Selain itu,perkhidmatan feri juga disediakan untuk berhubung dengan negara Thailand melalui Langkawi dan Satun.
Pulau Langkawi merupakan sebuah pulau bersejarah yang kaya dengan legenda dan juga tempat-tempat menarik. Terlalu banyak tempat menarik di pulau ini dan tidak cukup jika anda hanya menghabiskan dua hari menjelajah keseluruhan pulau. Antara tempat yang menjadi tarikan adalah seperti Langkawi Cable Car, Taman Buaya, Taman Burung, Underwater World juga pantai-pantainya yang menarik seperti Pantai Cenang dan Pantai Pasir Hitam. Pastinya kunjungan ke sini menjadi satu kenangan manis yang tidak akan dilupakan.








No comments: