...sekadar mengimbau kenangan-kenangan manis yang sempat dirakamkan sama ada dari kamera digital, kamera video ataupun diimbas semula dari gambar foto... bagi yang tidak sempat dirakamkan...merupakan kenangan manis yang tidak dapat dikongsi sesiapa...hanya bersama dengan yang berkenaan sahaja...
>> LATA LAWIN, GERIK
KEDINGINAN air dari banjaran bukit sudah terasa beberapa meter dari air terjun Lata Ulu Lawin, Gerik, Perak. Dikelilingi kehijauan belantara yang masih terpelihara, udara nyaman mampu menyegarkan sesiapa saja. Kesejukan airnya membuatkan badan yang letih terasa segar. Kesempatan berendam dalam cuaca panas terik ini mampu menerbitkan nikmat yang tidak dapat diucapkan dengan kata-kata.
Kawasan rekreasi dalam suasana damai kampung ini menjadi satu lagi destinasi santai di daerah Hulu Perak. Ia terletak di pertengahan jalan raya Lenggong-Grik berhampiran Felda Lawin Selatan, kira-kira 30 kilometer dari pekan Gerik, Perak. Semakin popular di kalangan penduduk negeri ini, Lata Ulu Lawin dihiasi dengan longgokan batu sungai pelbagai saiz di sepanjang kawasan tebing sungai sepanjang dua km. Rimbunan pohon hijau yang tumbuh liar di sekitarnya menjadi kanopi semula jadi sebagai tempat pengunjung berteduh dan berehat dari cahaya terik matahari.Destinasi ini amat sesuai untuk percutian hujung minggu bersama keluarga memandangkan banyak kemudahan percuma disediakan oleh Majlis Daerah Gerik (MDG). Ini termasuk pondok rehat, bangku, sudut memasak dan barbeku, siar kaki, tempat persalinan dan tandas.Paling menarik, ada pulau kecil yang terbentuk dari aliran sungai di lata ini. Untuk kemudahan pengunjung, MDG membina jambatan bagi menghubungkan kawasan tebing sungai dan pulau ini. Dewan berkonsepkan terbuka sesuai untuk aktiviti berkumpulan dan pentas pelbagai guna dibina di pulau untuk penganjuran pelbagai acara keraian termasuk hari keluarga.Pelbagai kemudahan disediakan ternyata menarik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kerap mengadakan program dan aktiviti di pusat perkelahan ini.Lata Ulu Lawin juga kaya dengan khazanah alam semula jadi. Ada banyak spesies pokok hutan yang bernilai tinggi yang boleh dijadikan papan bergergaji mempunyai nilai warisan yang tinggi. Antaranya, nama yang tidak asing seperti cengal, seraya dan keruin. Ini termasuk pokok hutan lain seperti deraham dan kundang. Untuk menyemai kesedaran kepada pengunjung terutama pelajar sekolah, nama spesies diletakkan di batang pokok.
Kawasan air terjun ini juga amat sesuai sebagai lokasi perkhemahan membabitkan jumlah yang besar seperti pelajar sekolah atau institusi pengajian tinggi (IPT).Pengunjung yang datang dengan keluarga khususnya kanak-kanak pasti akan merasa seronok bermain di air cetek dan jernih. Golongan si kecil juga boleh mandi-manda di tempat teduh daripada pancaran matahari.Jika malas membasahkan tubuh, pengunjung boleh duduk berehat di atas batu sambil melihat spesies ikan sungai termasuk sia, tengas, lampan, seluang. Ikan air tawar yang jinak ini kelihatan berebut-rebut apabila pengunjung menabur roti.
Pengunjung yang tidak membawa bekalan makanan boleh berkelah dengan singgah membeli di kedai makan berhampiran pekan Lawin.Ada juga penduduk tempatan yang membuka gerai berhampiran kawasan lata menjual makanan panas termasuk laksa utara.Kunjungan ke Lata Ulu Lawin akan lebih bermakna ketika musim buah-buahan. Pelbagai jenis buah termasuk durian, cempedak, rambutan, langsat dan manggis dapat dibeli terus daripada pekebun berhampiran dengan harga berpatutan.
VIDEO CLIP 01
VIDEO CLIP 02
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Post a Comment