Gerik, sebuah pekan kecil yang terletak di bahagian Hulu Perak sememangnya kaya dengan hasil hutan dan sungainya yang tidak ternilai. Sepanjang saya menetap di sini, salah satu perkara yang paling menarik perhatian ialah ikan-ikan sungai yang berkampung di sepanjang Sungai Perak seperti tengalan, kelabau, baung, temoleh, toman, kalui dan lain2 lagi.
Bagi penggemar masakan ikan sungai, ikan seperti tengalan dan baung boleh diperolehi dengan mudah di pasar besar Gerik atau tunggu sahaja di pengkalan nelayan sungai. Anda boleh membeli ikan-ikan yang baru ditangkap dan masih segar dengan harga yang berpatutan.
Bagi kami yang tinggal di sini, jika terdapat rakan-rakan atau sanak saudara yang melawat kami tentunya dihidangkan dengan masakan ikan sungai seperti ikan sungai yang dibakar, masak lemak dan juga pelbagai hidangan lain yang berasaskan ikan sungai sebagai tanda gembira atas kunjungan mereka.
Harga bagi ikan-ikan sungai ini bergantung kepada jenis ikan, populasi ikan mengikut musim dan juga hasil tangkapan. Berikut merupakan harga pasaran bagi ikan-ikan sungai di sini mengikut saiz sekilogram :
Jelawat : RM30
Tengalan : RM 25
Baung : RM 20
Kelabau : RM 14
Bujuk : RM 16
Haruan : RM 12
Toman : RM 5
Kalui : RM 5
Loma dan ikan-ikan kecil : RM 3
Di Sungai Perak juga terkenal dengan aktiviti menangkap ikan loma terutamanya ketika musim hujan lebat. Ikan-ikan loma ini biasanya bergerak dalam kumpulan yang besar menuju ke lokasi ia bertelur dan ketika ini akan kelihatan ramai penduduk sekitar bersiap sedia dengan tangguk untuk menangkap ikan dan mewujudkan satu keadaan seperti pesta menangkap ikan. Jika berkesempatan saya akan merakamkan gambar pesta ikan loma sebagai kenangan di dalam blog ini. Yang masih menjadi misteri ialah kelibat ikan loma ini sukar sekali kelihatan jika bukan musim ia bertelur. Tidak diketahui ke mana ikan-ikan ini menghilang tetapi jika pada musimnya jumlah ikan ini beratus ribu ekor... Saya pernah mengikut seorang kawan yang sememangnya anak jati Gerik menyauk ikan ini di tebing Sungai Rui, Gerik... dalam tempoh 2 jam kami berjaya memperolehi lebih kurang 3 kilogram ikan loma.. itupun sauk main-main aje.. dapat anda bayangkan berapa banyak ikan loma yang berenang ketika musim bertelur ini..?
Biasanya ikan-ikan ini dijadikan pekasam dan telurnya yang banyak itu biasanya digoreng begitu sahaja dan dimakan...tetapi awas kerana telur ikan ini mengandungi kadar kolestrol yang tinggi dan tidak sesuai bagi mereka yang mengidap penyakit darah tinggi dan juga penyakit jantung. Ikan loma juga enak digoreng walaupun mempunyai banyak tulang halus... cara yang paling sesuai ialah dengan mengelar ikan itu rapat-rapat dan apabila digoreng tulang2 tersebut akan menjadi rapuh dan mudah dimakan bersama nasi panas...wowowow sungguh menyelerakan !!!
Pekan kecil ini sememangnya meninggalkan banyak kenangan manis bagi saya dan keluarga sepanjang kami menetap di sini dan yang paling tidak akan kami lupakan semestinyalah ikan-ikan sungainya yang beraneka jenis dan lazat !!!
No comments:
Post a Comment